Sunday 30 November 2014

SESI TEMUBUAL BERSAMA PENDUDUK ASAL DENGKIL

Sesi temubual bersama Encik Ismail bin Mat Sarip


Pengkaji : Assalammualaikum Encik Ismail.

Encik Ismail : Waalaikumsalam

Pengkaji : Sila perkenalkan diri dahulu.

Encik Ismail : Nama saya Ismail bin Mat Sarip. Berumur 66 tahun.

Pengkaji : Berapa lama encik menetap di Dengkil ?

Encik Ismail : Saya menetap di Dengkil sejak dari lahir sehingga sekarang.

Pengkaji : Soalan pertama saya, apakah yang encik tahu tentang sejarah asal – usul nama Dengkil ?

Encik Ismail : Mengikut apa yang saya ketahui, Dengkil ini mempunyai dua cerita tentang asal-usul namanya. Cerita pertama, kira-kira tahun 1926 atau sebelumnya, seramai 8 orang Melayu daripada Sungai Buaya dari Kuala Langat datang mendarat menyusur Sungai Langat dan mendarat di Jambatan Lama Dengkil. Kemudian, di tepi Sungai Langat terdapat pokok durian. Dua daripada pokok durian tersebut dipanggil pokok durian dengkil. Buah durian tersebut mempunyai biji yang besar dan kuning isinya dan disebabkan itulah ramai yang menggelarkannya sebagai durian dengkil dan menjadikan kawasan ini dinamakan sebagai Dengkil. Cerita kedua pula, ada orang Asli menyatakan sebelum ini ada sebatang sungai yang dipanggil Sungai Merba. Sungai ini airnya mengalir masuk ke Sungai Langat dan lama-kelamaan tanah yang mengalir bersama Sungai Merba masuk ke dalam Sungail Langat dan menyebabkan sungai ini menjadi cetek dan tohor. Oleh itu, ada orang Asli menyatakan ramai yang menggunakan perahu melalui sungai tersebut dan menyebabkan perahu yang dibawa itu tersangkut. Jadi apabila ianya tohor ada orang boleh turun di bahagian tengah sungai tersebut. Dan disebabkan keadaannya seperti itu, orang Asli menamakannya sabagai ‘Dengkat’ yang membawa maksud tohor atau cetek. Berdasarkan cerita diatas, orang Melayu menamakan kawasan ini sebagai Dengkil yang namanya berasal dari sebatang pokok durian dan manakala orang Asli menamakannya sebagai ‘Dengkat’ yang membawa cerita tentang sungai yang menjadi cetek.

Pengkaji : Selain itu, mungkin ada mitos lain tentang asal-usul nama Dengkil yang mungkin encik tahu ?

Encik Ismail : Mitos lain saya tidak ketahui, tetapi ketika saya menyertai acara perasmian pembukaan Balai Polis Dengkil, saya ada membuat sedikit catitan berkenaan dengan sejarah asal-usul nama Dengkil ini daripada perkongsian cerita orang-orang tua yang memang telah lama menetap di Dengkil.

Pengkaji : Seterusnya, sekitar tahun 1990 – 2000, apakah perkembangan yang telah encik lihat mula wujud di Dengkil ? Sama ada dari segi pembangunan, perhubungan dan prasarana.

Encik Ismail : Sebelum tahun 1990, ramai orang Melayu menyatakan Dengkil ini sebagai tempat ‘jin bertendang’ dan menyebabkan ramai orang tidak mahu datang ke Dengkil. Pada ketika itu, penduduk kaum Melayu kebanyakkannya menetap dari kawasan Pekan Dengkil sehingga Batu 2 ½. Manakala bagi penduduk Cina kebanyakkannya menetap di kawasan perkampungan baru Cina di Pekan Dengkil dan bagi penduduk India mereka hanya menetap di kawasan estet. Estet yang wujud pada ketika itu ialah Ampar Tenang Estate dan banyak lagi estet lain. Kawasan lombong Timah Langat dahulu merupakan kawasan perkampungan orang Melayu pada ketika itu. Oleh disebabkan kawasan tersebut dijadikan lombong, penduduk Melayu mula ditempatkan di Kampung Dato’Ahmad Razali. Namun, kawasan kampung tersebut juga dahulunya merupakan kawasan estet milik Chung Kiow Estate. Tetapi pihak kerajaan telah mengambil alih kawasan tersebut dan menempatkan sekelompok penduduk Melayu di Kampung Dato’Ahmad Razali. Seterusnya, bagi penduduk India sebelum ini mereka tinggal di kawasan estet dan selepas pengambilan tanah oleh kerajaan untuk membangunkan kawasan Putrajaya mereka ini semua turut dipindahkan ke Taman Permata Dengkil. Dari segi pendapatan pula, orang Melayu pada ketika itu kebanyakkannya bekerja di lombong, penduduk India kebanyakkannya bekerja di estet-estet manakala pendapatan bagi penduduk Cina, kebanyakkannya mereka menjalankan kegiatan perniagaan dan bercucuk tanam di kebun mereka sendiri.

Pengkaji : Bagaimana pula dari segi perhubungan misalnya jalan raya ?

Encik Ismail : Jalan raya pada ketika itu adalah dari Pekan Dengkil menuju ke Kuala Langat dan Kajang serta dari Jalan Air Hitam menuju ke Puchong. Dari segi pengangkutan, bas awam yang wujud pada ketika itu adalah bas Sum dan bas Mara. Bas Sum hanya menuju ke Kajang dan perkhidmatannya hanya sekali sehari sahaja iaitu pada jam 8 pagi mengambil penumpang dari Dengkil dan jam 5 petang mengambil penumpang dari Kajang. Manakala bagi perkhidmatan bas Mara, bas ini hanya menuju ke Banting sahaja. Disamping itu, terdapat juga perkhidmatan teksi yang boleh menghantar penumpang ke Banting dan Kajang.

Pengkaji : Sekitar tahun 1990 – 2000 apakah jenis pembangunan yang wujud di Dengkil ?

Encik Ismail : Pembangunan mula wujud apabila terdapatnya lombong  di kawasan Dengkil. Pada ketika dahulu apabila banyak lombong yang dibuka, ramai orang yang datang dari Perak menjejakkan kaki ke Dengkil. Hal ini kerana kebanyakkan mereka adalah berpengalaman dalam melakukan kerja-kerja perlombongan dan mula bekerja di lombong-lombong yang terdapat di kawasan Dengkil. Manakala bagi sesetengah belia pada ketika itu, dimana sebuah Rancangan Tanah Belia Air Terentang dibuka terdapat 50 sehingga 100 orang belia meneroka tanah di kawasan tersebut di bawah pengelolaan Majlis Daerah Sepang. Namun, kawasan tanah tersebut telah diambil alih oleh Cyberjaya dan kumpulan belia tersebut diberi pampasan.

Pengkaji : Bagaimana pula dengan faktor yang menyebakan berlakunya perkembangan di Dengkil ?

Encik Ismail : Apabila wujudnya KLIA, Cyberjaya dan Putrajaya, maka kawasan Dengkil ini dikenali sebagai kawasan emas. Oleh itu, pembangunan pesat di Dengkil mula wujud  misalnya pembinaan kawasan perumahan, pembangunan, pejabat-pejabat kerajaan. Disamping itu, bilangan penduduk di Dengkil juga turut bertambah dari semasa ke semasa. Dari segi sistem perhubungan pula, ia menjadi bertambah baik akibat daripada kerja-kerja penaiktarafan sistem perhubungan jalan raya yang boleh menuju ke Putrajaya, KLIA dan Banting.

Pengkaji : Apakah jenis kegiatan utama yang wujud dan giat dijalankan di Dengkil sekitar tahun 1990 – 2000 ?

Encik Ismail : Kegiatan utama yang wujud di Dengkil pada ketika itu kebanyakkannya terdiri daripada kegiatan perlombongan dan kegiatan estet yang ada di kawasan Dengkil.

Pengkaji : Berdasarkan pemerhatian encik, berikan beberapa contoh jenis pembangunan atau perkembangan lain yang wujud di Dengkil sekitar tahun 1990 – 2000 ?

Encik Ismail :  Perkembangan yang wujud di Dengkil amat pesat dan terlalu banyak. Dari segi perhubungan, ia kelihatan begitu baik berbanding pada zaman dahulu . Misalnya, jalan raya dari Pekan Dengkil ini boleh menghubungkan kesemua kawasan . Disamping itu, perkhidmatan pengangkutan awam juga semakin baik dan lebih selesa berbanding dengan pengangkutan awam yang telah sedia ada pada era sebelum tahun 1990-an.  Kemudahan asas juga mula disediakan kepada seluruh penduduk di Dengkil seperti klinik kesihatan dan pejabat pos.

Pengkaji : Apakah masalah yang telah anda perhatikan wujud di Dengkil ?

Encik Ismail : Masalah yang saya telah lihat adalah dari segi kepesatan yang berpunca daripada kerja-kerja pembangunan di Dengkil telah memberi kesan dimana berlakunya masalah banjir di beberapa kawasan perumahan dan perkampungan di Dengkil.

Pengkaji : Pada pendapat anda, apakah cara yang anda ingin ketengahkan supaya sejarah asal-usul ini diketengahkan ?

Encik Ismail : Pada zaman dahulu, ada sebatang lagi pokok durian yang masih tinggal di tepi Sungai Langat. Dan saya pernah menyatakan kepada Ketua Kampung Baru Cina dan Ketua Kampung Dengkil pada ketika itu supaya pagarkan pokok durian tersebut. Tetapi oleh disebabkan ianya telah dipagar, ada sesetengah penduduk yang marah dan meletakkan racun pada pokok tersebut.

Pengkaji : Apakah cadangan anda supaya nama dan kawasan Dengkil ini dikenali oleh seluruh mayarakat ?

Encik Ismail : Pada saya, rumah-rumah persinggahan ataupun hotel hendaklah diperbanyakkan lagi kerana kebanyakkan pihak luar lebih suka duduk di kawasan Dengkil. Hal ini kerana di Dengkil kini terdapat semua kemudahan  misalnya bank, klinik, kedai-kedai dan sebagainya. Manakala dari segi sistem pengangkutan pula, perkhidmatannya amat memberangsangkan dan memuaskan kerana ia mengikut waktu perjalanan yang ditetapkan.

Pengkaji : Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini encik. Diharapkan segala informasi yang encik sampaikan ini dapat mengukuhkan lagi hasil kajian saya ini.


Encik Ismail : Sama-sama. Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat memberi manfaat terhadap kajian yang anda jalankan sekarang.

No comments:

Post a Comment