Sunday, 30 November 2014

SEJARAH DENGKIL

PENGENALAN KEPADA ASAL USUL NAMA DENGKIL
            Dengkil merupakan sebuah kampung yang luas dan meliputi beberapa buah kampung lain. Kampung ini mempunyai keluasan tanah kira-kira 5310 ekar. Menurut sumber lisan suatu ketika dahulu, terdapat dua sumber yang menyatakan bahawa nama Dengkil ini telah diberi oleh seorang Tok Batin di kalangan kaum Orang Asli yang bernama Tok Batin Nalih a/l Jembik. Beliau menamakan kampung ini sebagai ‘Dingkil’ yang membawa maksud buah durian yang tidak berisi tetapi mempunyai biji yang besar. Pada ketika itu terdapat banyak pokok durian hidup di tebing Sungai Langat yang kerap berbuah dan disebut oleh orang Asli sebagai ‘Dingkil’. Dan lama kelamaan sebutannya telah berubah menjadi Dengkil.
            Selain itu, ada pula yang menyatakan bahawa nama Dengkil berasal dari Sungai Langat yang ‘Dengkat’ atau maksud lain kawasan sungai yang lebih cetek sepanjang sungai tersebut. Sungai ini bertemu dengan Sungai Semenyih yang terletak di kawasan Jenderam. Sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an, sungai ini mempunyai banyak ikan dan udang galah. Namun, lama-kelamaan sungai ini mula menjadi keruh dan hasil hidupan didalam sungai tersebut turut pupus dan akhirnya perkataan ‘Dengkat’ ini berubah menjadi Dengkil yang disebut oleh para penduduk sehingga kini.
            Disamping itu, terdapat juga sumber lain yang turut menyatakan bahawa Dengkil membawa maksud Sungai Naga jika diterjemahkan ke dalam bahasa Cina. Mengikut cerita yang telah diturunkan oleh salah seorang warga tempatan, terdapat seekor naga besar telah bertapa di Dengkil selama 900 tahun dan naga tersebut akan menjadi dewasa setelah bertapa untuk tempoh 100 tahun lagi.
            Semenjak daripada itu, orang British mula menjejakkan kaki dan meneroka kawasan Dengkil. Naga tersebut telah dibakar dan memuntahkan darah yang berwarna hitam. Pengaliran darah naga tersebut telah membentuk sebuah sungai yang berwarna hitam airnya. Dan akhirnya, sungai tersebut telah diberi nama Air Hitam yang masih kekal namanya sehingga kini.
            Mengikut kepercayaan orang Cina, tangisan naga tersebut sering kedengaran akibat kesakitan yang dihadapinya di sepanjang sungai Air Hitam. Berikutan itu, sungai ini terbentuk daripada darah naga dan orang Cina menamakannya sebagai Leng Qi yang membawa maksud Sungai Naga. Perkataan Leng Qi mempunyai bunyi yang sama dengan perkataan Dengkil.
            Kelahiran kawasan Dengkil ini juga bermula apabila wujudnya perjumpaan hasil bijih timah. Di sepanjang Sungai Langat, sungai tersebut amat kaya dengan bijih timah. Kedudukan Dengkil yang terletak dengan aliran sebelah atas adalah kira-kira 30 kilometer. Sungai Langat ini telah membawa kepada wujudnya pembentukan kawasan tanah paya bakau di dalam kawasan Dengkil dan Sepang. Pada akhir kurun ke-19, kegiatan perlombongan bijih timah yang giat dijalankan di Sungai Langat telah membawa kepada pembentukan kawasan penempatan orang Cina.

ASAL – USUL NAMA DENGKIL
Sehingga kini, penduduk Dengkil masih belum mengenalpasti sumber berkenaan dengan asal-usul nama Dengkil. Jika suatu ketika dahulu, seorang penduduk yang berketurunan orang Asli menggelarkan Dengkil adalah berasal daripada perkataan ‘Dingkil’ yang membawa maksud buah durian yang tidak berisi tetapi mempunyai biji yang besar. Hal ini membuktikan bahawa suatu ketika dahulu, ditepi Sungai Langat terdapat banyak pokok durian yang kerap berbuah. Disebabkan itu, orang Asli menamakan ianya sebagai ‘Dingkil’ dan akhirnya perkataan tersebut membawa kepada nama Dengkil yang digunakan sehingga kini. Menurut orang sumber, beliau juga mengemukakan pendapat yang hampir sama bahawa nama Dengkil ini berasal dari buah durian. Beliau menyatakan bahawa pada tahun 1956 terdapat lapan orang Melayu yang datang dari Sungai Buaya dan mengikut Sungai Langat dan akhirnya mendarat di Jambatan Lama Dengkil. Ditepi Sungai Langat tersebut terdapat pokok durian dan  dua daripada  pokok durian tersebut terdapat buah durian yang tidak berisi tetapi mempunyai biji yang besar. Pokok durian itu dinamakan ‘Durian Dengkil’.
            Selain itu, terdapat juga sumber yang menyatakan bahawa nama Dengkil berasal daripada perkataan ‘Dengkat’ yang membawa maksud sungai yang cetek. Menurut sumber terdahulu disepanjang Sungai Langat terdapat satu kawasan yang lebih cetek. Sungai ini bertemu dengan Sungai Semenyih yang terletak di kawasan Jenderam Hilir. Sungai Langat ini juga terdapat hasil hidupan sungai seperti ikan dan udang galah. Lama-kelamaan hidupan tersebut mula pupus akibat kekeruhan yang berlaku di sepanjang sungai tersebut. Pendapat ini juga hampir menyerupai dengan pandangan dari orang sumber. Menurut pengetahuan beliau, suatu ketika dahulu terdapat beberapa orang Asli menyatakan bahawa ada sebatang sungai yang dipanggil Sungai Merba. Air sungai ini mengalir masuk terus ke Sungai Langat. Akibat daripada pengaliran air sungai tersebut, pasir dan tanah Di Sungai Merba juga turut dialirkan bersama sehingga menyebabkan sungai tersebut menjadi cetek. Beliau juga menyatakan bahawa suatu ketika dahulu terdapat beberapa orang yang menaiki perahu melalui sungai tersebut. Sebaik sahaja di tengah perjalanan, perahu yang dinaiki oleh mereka telah tersangkut akibat keadaan sungai yang cetek. Selepas peristiwa itu, sungai itu sering disebut sebagai sungai yang ‘Dengkat’ yang membawa maksud tohor ditengah sungai atau cetek.

KEISTIMEWAAN DENGKIL
            Sebelum era 1990-an, Dengkil sememangnya kaya dengan sumber-sumber bahan mentah dan keindahan alam semulajadi. Oleh itu, maka telah wujud kawasan perlombongan bijih timah, ladang kelapa sawit dikawasan estet, ladang penternakan lembu dan kambing serta kawasan industri perkilangan. Dengan adanya kawasan-kawasan tersebut, kegiatan ekonomi yang dijalankan juga turut berkembang dengan amat pesat dan akhirnya telah membawa kepada perubahan yang menjadikan kawasan Dengkil ini semakin membangun dengan begitu maju. Misalnya, perkembangan yang telah diwujudkan adalah pembinaan kilang-kilang industri pemprosesan kelapa sawit dan kilang pemprosesan hasil galian bijih timah. Akibat daripada kepesatan kemajuan kegiatan ekonomi di kawasan Dengkil, hal ini turut menarik pandangan sesetengah pihak luar untuk memajukan dan cuba untuk memperkembangkan lagi kawasan Dengkil. Antara pembinaan pembangunan yang giat dijalankan pada ketika itu ialah pembinaan kawasan-kawasan perumahan yang bagaikan ‘cendawan sedang bertumbuh’.
            Bukan itu sahaja, Dengkil juga terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India, dan orang Asli. Secara majoriti, penduduk Dengkil kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu. Manakala kaum India pula merupakan kaum kedua yang terbanyak menetap dikawasan Dengkil dan kemudiannya diikuti oleh kaum Cina. Bagi kaum bumiputera seperti orang Asli, bilangannya tidak begitu banyak. Oleh itu, apabila wujudnya pelbagai kaum yang menetap dikawasan Dengkil, maka setiap adat dan cara hidup kaum masing-masing dapat dikenali antara satu sama lain. Misalnya, majlis perkahwinan yang diadakan oleh setiap kaum yang berlainan. Apabila adanya majlis-majlis seperti ini, penduduk Dengkil semestinya mengutamakan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun berlainan kaum. Hal ini menunjukkan bahawa, apabila sesuatu majlis itu diadakan sama ada ianya secara formal atau tidak formal, mereka semestinya akan menjemput tetamu yang berlainan kaum. Maka dengan ini, terbuktilah bahawa penduduk di Dengkil sememangnya menerapkan unsur nilai-nilai murni di dalam diri masing-masing. Sikap saling hormat-menghormati, saling bertolak ansur dan bantu-membantu merupakan tunjang utama dalam memupuk hubungan silaturahim antara kaum. Di samping itu, setiap kaum ini juga dapat mengenali tentang unsur budaya serta amalan masing-masing dengan lebih dekat dan terperinci.
            Seterusnya, dari segi kedudukan lokasi, Dengkil sememangnya berada pada kedudukan yang begitu strategik. Oleh disebabkan itu, kerja-kerja penaiktarafan perhubungan jalanraya yang menghubungkan Dengkil kesemua kawasan mula dijalankan. Antara projek penaiktarafan dan penubuhan pembangunan modenisasi adalah seperti Cyberjaya, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Oleh disebabkan mula terbinanya pembangunan ini, maka Dengkil mula dikenali sedikit demi sedikit oleh ramai pihak. Disamping itu, kebanyakan pihak memilih untuk menduduki di kawasan Dengkil kerana faktor kedudukannya yang strategik serta faktor kemudahan perhubungan dan prasarana yang terdapat di Dengkil. Oleh itu, Dengkil kini telah menjadi kawasan pertengahan yang menghubungkan diantara Putrajaya, Cyberjaya, KLIA dan arah laluan menghala lebuhraya susur ke Kuala Lumpur.

PERKEMBANGAN YANG WUJUD DI DENGKIL
            Sebelum era 1990-an, Dengkil sememangnya telah menyediakan kemudahan kepada semua penduduk tempatan tetapi kemudahan yang disediakan pada ketika itu amat terhad. Antara jenis kemudahan yang terdapat di Dengkil sebelum memasuki tahun 1990-an ialah sekolah, pejabat pos, balai polis, perhentian teksi dan kereta sewa, kemudahan bas serta kemudahan perhubungan jalan raya. Namun, segala kemudahan ini telah mula dibaikpulih dan dimajukan bagi menampung jumlah penduduk di kawasan Dengkil yang kian meningkat dari semasa ke semasa.

KEGIATAN EKONOMI
            Sebelum era 1990-an, kegiatan ekonomi yang telah dijalankan oleh penduduk Dengkil adalah terdiri daripada kegiatan perlombongan, kegiatan pertanian dikawasan estet dan kegiatan perniagaan. Oleh itu, terdapat beberapa pembahagian dimana setiap kaum ini menjalankan kegiatan ekonomi yang berbeza. Suatu ketika dahulu, kebanyakkan penduduk kaum Melayu menetap dari kawasan Pekan Dengkil sehingga Batu 31. Manakala, kaum Cina pula menetap di Perkampungan Cina iaitu Kampung Baru Dengkil. Menurut orang sumber, perkampungan Cina ini mula wujud semasa berlakunya darurat di kawasan Batu 1 dan Air Hitam. Seterusnya, penduduk kaum India pula kebanyakannya menetap di kawasan estet. Antara kawasan yang menjadi tempat tinggal penduduk kaum India ialah Ampar Tenang Estet dan H.N.Ridley Estet.
            Menurut orang sumber, Lombong Timah Langat di Dengkil itu merupakan tapak perkampungan melayu suatu ketika dahulu. Perkampungan melayu tersebut telah diambil alih oleh pihak kerajaan pada masa itu untuk dijadikan kawasan perlombongan. Oleh disebabkan penduduk dari perkampungan melayu tersebut tiada tempat untuk menetap, maka sebuah perkampungan telah diwujudkan iaitu Kampung Dato’Ahmad Razali. Pada asalnya, tapak kawasan tersebut merupakan kawasan perladangan estet kepunyaan Chung Kiow Estate yang digiatkan oleh kaum India. Namun kawasan tersebut telah diambil oleh pihak kerajaan terdahulu dan mewujudkan sebuah perkampungan yang dipanggil Kampung Dato’Ahmad Razali. Setelah itu, penduduk kaum melayu dari kawasan perkampungan melayu telah dipindahkan ke kampung tersebut. Sebelum era 1990-an, penduduk kaum Melayu ini mula menggiatkan sektor perlombongan yang menjadi sumber ekonomi utama di Dengkil pada ketika itu. Antara kawasan perlombongan yang menjadi kegiatan utama kaum Melayu ialah Lombong Timah Langat, Selangor Dredging dan Perlombongan Kok Seng.
            Bagi kaum India mereka hanya tertumpu kepada kegiatan perladangan estet. Suatu ketika dahulu, kebanyakkan kaum India menetap di kawasan estet yang berhampiran dengan sempadan Pulau Meranti. Antara kawasan perladangan estet yang menjadi tumpuan utama kaum India menggiatkan sektor tersebut adalah Ampar Tenang Estate, Perang Besar Estate dan H.N.Ridley Estate. Namun sekitar tahun 1994, tanah telah mula diambil oleh pihak kerajaan untuk kerja-kerja pembangunan. Oleh disebabkan itu, kebanyakkan kaum India mula berpindah ke sebuah perumahan flat iaitu Flat Taman Permata. Perumahan tersebut telah ditubuhkan khas untuk kaum India yang melibatkan diri dalam kegiatan estet. Situasi tersebut juga telah menunjukkan bahawa sesetengah penduduk kaum India mula mencuba untuk menceburkan diri dalam sektor perkilangan. Sehingga kini, masih ada lagi penduduk kaum India yang melakukan kerja-kerja di ladang estet dan ada juga yang terlibat dalam sektor perindustrian terutamanya di kilang-kilang.

KEMUDAHAN ASAS DAN PRASARANA

SEKOLAH KEBANGSAAN DENGKIL
            Pada awalnya, sekolah ini dipanggil Sekolah Melayu Dengkil ataupun Sekolah Umum yang telah ditubuhkan pada tahun 1926. Tapak asal sekolah ini pada asalnya terletak di Pekan Dengkil namun tapak tersebut kini tidak lagi digunakan dan dijadikan sebuah Balai Raya di kawasan tersebut. Pada awal pembukaan, bangunan sekolah ini merupakan sebuah bangunan kayu yang berdindingkan papan sekerat dan beratap nipah. Manakala meja dan kerusi untuk para pelajar dihasilkan daripada papan yang berbentuk panjang. Guru Besar pertama yang menerajui sekolah ini ialah Encik Ahmad bin Hamid dan bilangan pelajar pada awal pembukaan sekolah ini adalah seramai 35 orang.
            Setelah berlakunya pertambahan penduduk dari semasa ke semasa, ia juga turut membawa kepada jumlah pelajar yang ramai. Pada tahun 1927, sebuah bangunan telah didirikan yang terletak kira-kira ½ batu dari tapak sekolah lama. Bangunan ini terdiri daripada tiga buah bilik darjah sahaja bagi menampung lima aliran kelas iaitu bermula dari Darjah Satu sehingga Darjah Lima. Sepanjang tempoh pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, Sekolah Melayu Dengkil tidak banyak terlibat dalam situasi peperangan sepertimana yang telah berlaku di beberapa buah sekolah yang berhampiran. Oleh disebabkan itu, kesemua para pelajar tidak terganggu dengan keadaan tersebut dan dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa.
            Setelah Jepun mula menyerah kalah pada tahun 1945 dan kemudiannya telah diambil alih oleh pihak British, pentadbiran Sekolah Melayu Dengkil sering bertukar ganti Guru Besar sehingga menjelang tahun 1956. Oleh itu, setelah berlakunya peristiwa kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, telah banyak perubahan yang berlaku di sekolah ini dan akhirnya sekolah ini mula mengalami pembaharuan dari segi jenis pembangunan, sistem pentadbiran sekolah serta bilangan guru dan pelajar yang kian meningkat setiap tahun.

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DENGKIL
            Sekolah ini mula ditubuhkan pada Januari 1967, dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu, iaitu Dato’Ahmad Razali bin Mohd Ali pada tanggal 11 Januari 1970. Pada awalnya, sekolah ini memulakan operasi dengan hanya menumpang di Sekolah Kebangsaan Dengkil. Jumlah kapasiti guru pada ketika itu adalah seramai 4 orang manakala bilangan pelajar pula seramai 90 orang.
            Menjelang tahun 1970, bilangan pelajar mula meningkat seramai 169 orang dan bilangan guru telah meningkat kepada 6 orang. Sekolah ini telah memulakan operasi dengan hanya menggunakan 7 buah kelas sahaja. Ketika memasuki tahun1975, bangunan Blok A, kantin sekolah dan bangunan bengkel Kemahiran Hidup mula dibina. Pada tahun 1976, kerja-kerja pembinaan bangunan Blok B dan Blok C turut dijalankan dan disiapkan begitu juga dengan bangunan Blok D dan dewan utama. Menjelang tahun 1988, bangunan Blok E telah siap dibina dan ia telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu iaitu Dato’Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 1999.
            Setelah memasuki tahun 2000, sekolah ini mempunyai 6 blok bangunan, sebuah Dewan Utama, 6 buah bengkel Kemahiran Hidup, sebuah Makmal Komputer iaitu Makmal Bestari, sebuah Bilik Simulasi, 6 buah rumah guru, sebuah kantin dan sebuah surau. Bilangan guru pada ketika itu mula mengalami peningkatan iaitu seramai 90 orang dan bilangan pelajar pula meningkat kepada 1,500 orang. Kemudiannya, bangunan Blok F telah siap dibina dan mula digunakan pada tahun 2003. Blok tersebut terdiri daripada 2 buah Makmal Matematik dan kelas-kelas untuk pelajar Tingkatan Lima. Sehingga kini, bilangan guru dan pelajar seringkali meningkat dan pentadbiran sekolah juga turut dijalankan dengan lebih sistematik berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

BALAI POLIS DENGKIL
Balai Polis Dengkil mula ditubuhkan sekitar tahun 1928 dan balai polis ini mempunyai persamaan dengan Balai Polis Batu 14, Hulu Langat.  Hal ini membuktikan bahawa kedua-dua buah balai polis ini diwujudkan di tebing Sungai Langat yang menyebabkan kepada faktor-faktor perhubungan dan perniagaan pada ketika itu.
            Tapak balai polis tersebut masih lagi dikekalkan sehingga kini. Suatu ketika dahulu, Balai Polis Dengkil dianggap sebagai Balai Pengamanan yang dianggotai oleh seorang Lans Koperal dan tiga orang mata-mata. Selepas beberapa tahun, Balai Polis Dengkil telah mula mengalami perubahan dari semasa ke semasa dari segi sistem pentadbiran, bilangan anggota polis dan kerja-kerja pembaharuan balai tersebut. Hal ini membuktikan bahawa pada tahun 1939, bilangan anggota polis telah bertambah melalui penglibatan seorang Lans Koperal dan enam mata-mata.  Kemudiannya, berlaku sekali lagi penambahan di mana sistem pentadbiran balai polis ini diketuai oleh seorang Sarjan dan dibantu oleh seorang Lans Koperal serta lapan orang mata-mata.
            Terdapat pelbagai cabaran yang pernah dihadapi oleh Pasukan Polis di kawasan Dengkil antaranya ketika zaman darurat yang berlaku pada tahun 1948 sehingga tahun 1960. Namun, dengan wujudnya semangat kerjasama yang kuat diantara orang awam dengan anggota Polis maka musuh luar yang memasuki negara ini dapat ditentang oleh pasukan keselamatan negara sehinggalah negara kita mula mengalami perubahan dalam mewujudkan keamanan dan semangat harmoni dalam kalangan masyarakat.
            Sehingga kini, Balai Polis Dengkil masih lagi memainkan peranan yang penting dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan kemesraan kepada seluruh penduduk di kawasan Dengkil.

PEJABAT POS DENGKIL
            Bukan itu sahaja, kemudahan untuk penduduk setempat membuat urusan surat-menyurat juga disediakan dengan mewujudkan sebuah pejabat pos. Pejabat Pos Dengkil mula dibuka pada 5 April 1982 dan lokasinya terletak di Batu 31 Jalan Banting Klang, Selangor yang berhampiran dengan Pekan Dengkil.

PRASARANA
Pada tahun 1990-an, kemudahan prasarana yang telah sedia wujud di Dengkil adalah dengan adanya kemudahan bas awam serta kemudahan teksi.
Menurut orang sumber, pada ketika dahulu bas yang digunakan di kawasan Dengkil untuk menuju ke Kajang adalah Bas Sam. Bas ini merupakan satu-satunya kemudahan pengangkutan yang ada pada ketika itu dan menjadi tumpuan orang ramai untuk menuju ke Kajang. Kemudian, selepas beberapa tahun wujud lagi satu syarikat bas dimana bas tersebut dikenali sebagai Bas Mara. Bas ini hanya menuju dari Dengkil ke Banting. Menurut pandangan orang sumber juga, bas ini hanya beroperasi dua kali sehari iaitu dari pada jam 8.00 pagi dan 3 petang.

SISTEM PERHUBUNGAN JALAN RAYA
            Menurut orang sumber, sistem perhubungan yang wujud sekitar tahun 1990 merupakan jalan raya yang menghubungkan dari kawasan Pekan Dengkil ke Kuala Langat dan Kajang. Manakala menerusi Jalan Air Hitam ia hanya menghubungkan sehingga ke Puchong. Namun, setelah beberapa tahun, sistem perhubungan di Dengkil ini mula mengalami perubahan dan telah dinaiktaraf oleh pihak kerajaan. Misalnya, pembinaan sistem pengangkutan jalan raya yang menghubungkan Dengkil ke Putrajaya. Suatu ketika dahulu, Putrajaya ini dikenali dengan nama Perang Besar dan selepas beberapa tahun nama tersebut mula ditukarkan secara rasmi kepada Putrajaya pada 12 Oktober 1994. Kawasan ini mula dibangunkan pada 16 April 1955 dan sekitar tahun 1999, pembinaan sebuah jalan raya yang menghubungkan Dengkil ke Putrajaya mula dibangunkan. Setelah memasuki tahun 2000, jalan raya tersebut telah mula digunakan oleh penduduk Dengkil ke Putrajaya. Pada tahun yang sama, jalan raya yang menghubungkan ke Putrajaya ini mula diperkembangkan dengan membina sebuah lagi jalan raya yang menghala ke Cyberjaya. Pembukaan Cyberjaya ini bermula pada Mei 1997 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr.Mahathir Mohammad.
            Seterusnya, ketika Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mula dibangunkan sekitar tahun 1990-an, jalan raya yang menghubungkan dari Dengkil ke KLIA telahpun mula dibina. Ketika itu, jalan raya untuk menghubungkan dari Dengkil hingga ke KLIA harus melalui beberapa susur laluan. Laluan yang harus dilalui adalah melalui jalan Dengkil-Banting kemudian melalui kawasan Bukit Changgang dan seterusnya tiba di Bandar Baru Salak Tinggi. Namun, selepas beberapa tahun pihak kerajaan telah membuat keputusan dengan membina sebuah laluan alternatif di mana ia boleh berhubung secara terus dari Dengkil hingga tiba di KLIA. Oleh itu, bagi memudahkan penduduk di kawasan Dengkil, sebuah lebuhraya telah dibina yang berupaya menghubungkan dari Dengkil menyusur ke Putrajaya, Kota Warisan, Bandar Baru Salak Tinggi dan seterusnya menuju ke KLIA.

PEMBANGUNAN, PETEMPATAN DAN INFRASTRUKTUR
            Dari segi pembangunan dan infrastruktur, awal tahun 1990-an pembangunan yeng telah wujud di Dengkil adalah terdiri daripada masjid, tokong cina, kawasan perumahan dan rumah-rumah kedai. Begitu juga dengan kewujudan prasarana yang telah sedia ada di Dengkil. Antara prasarana yang telah diwujudkan ialah kemudahan pengangkutan bas dan teksi.

            Namun, selepas beberapa tahun kemajuan mulai berlaku di kawasan Dengkil. Situasi ini menunjukkan bahawa kerja-kerja penaiktarafan mula digiatkan bagi memudahkan lagi penduduk Dengkil untuk menggunakan kemudahan yang telah sedia ada. Disamping itu, kawasan Dengkil juga kini mempunyai pelbagai jenis kawasan perumahan yang dibina. Misalnya perumahan teres dua tingkat, kondominium dan banglo dua tingkat. Hal ini menunjukkan bahawa kawasan perumahan yang dahulunya hanya perkampungan kecil kini telah berubah menjadi sebuah kawasan perumahan yang moden. Situasi ini telah membuktikan bahawa Dengkil kini sedang mengalami arus kemajuan setanding dengan beberapa kawasan lain seperti Putrajaya dan Cyberjaya.

No comments:

Post a Comment