Sesi temubual bersama Encik Ismail bin
Mat Sarip
Pengkaji : Assalammualaikum Encik Ismail.
Encik Ismail : Waalaikumsalam
Pengkaji : Sila perkenalkan diri dahulu.
Encik Ismail : Nama saya Ismail bin Mat Sarip.
Berumur 66 tahun.
Pengkaji : Berapa lama encik menetap di Dengkil ?
Encik Ismail : Saya menetap di Dengkil sejak dari
lahir sehingga sekarang.
Pengkaji : Soalan pertama saya, apakah yang encik
tahu tentang sejarah asal – usul nama Dengkil ?
Encik Ismail : Mengikut apa yang saya ketahui,
Dengkil ini mempunyai dua cerita tentang asal-usul namanya. Cerita pertama,
kira-kira tahun 1926 atau sebelumnya, seramai 8 orang Melayu daripada Sungai
Buaya dari Kuala Langat datang mendarat menyusur Sungai Langat dan mendarat di
Jambatan Lama Dengkil. Kemudian, di tepi Sungai Langat terdapat pokok durian.
Dua daripada pokok durian tersebut dipanggil pokok durian dengkil. Buah durian
tersebut mempunyai biji yang besar dan kuning isinya dan disebabkan itulah
ramai yang menggelarkannya sebagai durian dengkil dan menjadikan kawasan ini
dinamakan sebagai Dengkil. Cerita kedua pula, ada orang Asli menyatakan sebelum
ini ada sebatang sungai yang dipanggil Sungai Merba. Sungai ini airnya mengalir
masuk ke Sungai Langat dan lama-kelamaan tanah yang mengalir bersama Sungai
Merba masuk ke dalam Sungail Langat dan menyebabkan sungai ini menjadi cetek
dan tohor. Oleh itu, ada orang Asli menyatakan ramai yang menggunakan perahu
melalui sungai tersebut dan menyebabkan perahu yang dibawa itu tersangkut. Jadi
apabila ianya tohor ada orang boleh turun di bahagian tengah sungai tersebut.
Dan disebabkan keadaannya seperti itu, orang Asli menamakannya sabagai
‘Dengkat’ yang membawa maksud tohor atau cetek. Berdasarkan cerita diatas,
orang Melayu menamakan kawasan ini sebagai Dengkil yang namanya berasal dari
sebatang pokok durian dan manakala orang Asli menamakannya sebagai ‘Dengkat’
yang membawa cerita tentang sungai yang menjadi cetek.
Pengkaji : Selain itu, mungkin ada mitos lain
tentang asal-usul nama Dengkil yang mungkin encik tahu ?
Encik Ismail : Mitos lain saya tidak ketahui, tetapi
ketika saya menyertai acara perasmian pembukaan Balai Polis Dengkil, saya ada
membuat sedikit catitan berkenaan dengan sejarah asal-usul nama Dengkil ini
daripada perkongsian cerita orang-orang tua yang memang telah lama menetap di
Dengkil.
Pengkaji : Seterusnya, sekitar tahun 1990 – 2000,
apakah perkembangan yang telah encik lihat mula wujud di Dengkil ? Sama ada
dari segi pembangunan, perhubungan dan prasarana.
Encik Ismail : Sebelum tahun 1990, ramai orang
Melayu menyatakan Dengkil ini sebagai tempat ‘jin bertendang’ dan menyebabkan
ramai orang tidak mahu datang ke Dengkil. Pada ketika itu, penduduk kaum Melayu
kebanyakkannya menetap dari kawasan Pekan Dengkil sehingga Batu 2 ½. Manakala
bagi penduduk Cina kebanyakkannya menetap di kawasan perkampungan baru Cina di
Pekan Dengkil dan bagi penduduk India mereka hanya menetap di kawasan estet.
Estet yang wujud pada ketika itu ialah Ampar Tenang Estate dan banyak lagi
estet lain. Kawasan lombong Timah Langat dahulu merupakan
kawasan perkampungan orang Melayu pada ketika itu. Oleh disebabkan kawasan
tersebut dijadikan lombong, penduduk Melayu mula ditempatkan di Kampung
Dato’Ahmad Razali. Namun, kawasan kampung tersebut juga dahulunya merupakan
kawasan estet milik Chung Kiow Estate. Tetapi pihak kerajaan telah mengambil
alih kawasan tersebut dan menempatkan sekelompok penduduk Melayu di Kampung
Dato’Ahmad Razali. Seterusnya, bagi penduduk India sebelum ini mereka tinggal
di kawasan estet dan selepas pengambilan tanah oleh kerajaan untuk membangunkan
kawasan Putrajaya mereka ini semua turut dipindahkan ke Taman Permata Dengkil. Dari segi pendapatan pula, orang Melayu pada ketika
itu kebanyakkannya bekerja di lombong, penduduk India kebanyakkannya bekerja di
estet-estet manakala pendapatan bagi penduduk Cina, kebanyakkannya mereka
menjalankan kegiatan perniagaan dan bercucuk tanam di kebun mereka sendiri.
Pengkaji : Bagaimana pula dari segi perhubungan
misalnya jalan raya ?
Encik Ismail : Jalan raya pada ketika itu adalah
dari Pekan Dengkil menuju ke Kuala Langat dan Kajang serta dari Jalan Air Hitam
menuju ke Puchong. Dari segi pengangkutan, bas awam yang wujud pada ketika itu
adalah bas Sum dan bas Mara. Bas Sum hanya menuju ke Kajang dan perkhidmatannya
hanya sekali sehari sahaja iaitu pada jam 8 pagi mengambil penumpang dari
Dengkil dan jam 5 petang mengambil penumpang dari Kajang. Manakala bagi
perkhidmatan bas Mara, bas ini hanya menuju ke Banting sahaja. Disamping itu,
terdapat juga perkhidmatan teksi yang boleh menghantar penumpang ke Banting dan
Kajang.
Pengkaji : Sekitar
tahun 1990 – 2000 apakah jenis pembangunan yang wujud di Dengkil ?
Encik Ismail : Pembangunan mula wujud apabila
terdapatnya lombong di kawasan Dengkil.
Pada ketika dahulu apabila banyak lombong yang dibuka, ramai orang yang datang
dari Perak menjejakkan kaki ke Dengkil. Hal ini kerana kebanyakkan mereka
adalah berpengalaman dalam melakukan kerja-kerja perlombongan dan mula bekerja
di lombong-lombong yang terdapat di kawasan Dengkil. Manakala bagi sesetengah
belia pada ketika itu, dimana sebuah Rancangan Tanah Belia Air Terentang dibuka
terdapat 50 sehingga 100 orang belia meneroka tanah di kawasan tersebut di
bawah pengelolaan Majlis Daerah Sepang. Namun, kawasan tanah tersebut telah
diambil alih oleh Cyberjaya dan kumpulan belia tersebut diberi pampasan.
Pengkaji : Bagaimana pula dengan faktor yang
menyebakan berlakunya perkembangan di Dengkil ?
Encik Ismail : Apabila wujudnya KLIA, Cyberjaya dan
Putrajaya, maka kawasan Dengkil ini dikenali sebagai kawasan emas. Oleh itu,
pembangunan pesat di Dengkil mula wujud
misalnya pembinaan kawasan perumahan, pembangunan, pejabat-pejabat
kerajaan. Disamping itu, bilangan penduduk di Dengkil juga turut bertambah dari
semasa ke semasa. Dari segi sistem perhubungan pula, ia menjadi bertambah baik
akibat daripada kerja-kerja penaiktarafan sistem perhubungan jalan raya yang
boleh menuju ke Putrajaya, KLIA dan Banting.
Pengkaji : Apakah jenis kegiatan utama yang wujud
dan giat dijalankan di Dengkil sekitar tahun 1990 – 2000 ?
Encik Ismail : Kegiatan utama yang wujud di Dengkil
pada ketika itu kebanyakkannya terdiri daripada kegiatan perlombongan dan kegiatan
estet yang ada di kawasan Dengkil.
Pengkaji : Berdasarkan pemerhatian encik, berikan
beberapa contoh jenis pembangunan atau perkembangan lain yang wujud di Dengkil
sekitar tahun 1990 – 2000 ?
Encik Ismail : Perkembangan yang wujud di Dengkil amat pesat
dan terlalu banyak. Dari segi perhubungan, ia kelihatan begitu baik berbanding
pada zaman dahulu . Misalnya, jalan raya dari Pekan Dengkil ini boleh
menghubungkan kesemua kawasan . Disamping itu, perkhidmatan pengangkutan awam
juga semakin baik dan lebih selesa berbanding dengan pengangkutan awam yang
telah sedia ada pada era sebelum tahun 1990-an.
Kemudahan asas juga mula disediakan kepada seluruh penduduk di Dengkil
seperti klinik kesihatan dan pejabat pos.
Pengkaji : Apakah masalah yang telah anda perhatikan
wujud di Dengkil ?
Encik Ismail : Masalah yang saya telah lihat adalah
dari segi kepesatan yang berpunca daripada kerja-kerja pembangunan di Dengkil
telah memberi kesan dimana berlakunya masalah banjir di beberapa kawasan
perumahan dan perkampungan di Dengkil.
Pengkaji : Pada pendapat anda, apakah cara yang anda
ingin ketengahkan supaya sejarah asal-usul ini diketengahkan ?
Encik Ismail : Pada zaman dahulu, ada sebatang lagi
pokok durian yang masih tinggal di tepi Sungai Langat. Dan saya pernah
menyatakan kepada Ketua Kampung Baru Cina dan Ketua Kampung Dengkil pada ketika
itu supaya pagarkan pokok durian tersebut. Tetapi oleh disebabkan ianya telah
dipagar, ada sesetengah penduduk yang marah dan meletakkan racun pada pokok
tersebut.
Pengkaji : Apakah cadangan anda supaya nama dan
kawasan Dengkil ini dikenali oleh seluruh mayarakat ?
Encik Ismail : Pada saya, rumah-rumah persinggahan
ataupun hotel hendaklah diperbanyakkan lagi kerana kebanyakkan pihak luar lebih
suka duduk di kawasan Dengkil. Hal ini kerana di Dengkil kini terdapat semua
kemudahan misalnya bank, klinik,
kedai-kedai dan sebagainya. Manakala dari segi sistem pengangkutan pula,
perkhidmatannya amat memberangsangkan dan memuaskan kerana ia mengikut waktu
perjalanan yang ditetapkan.
Pengkaji : Terima kasih kerana sudi meluangkan masa
untuk sesi temubual ini encik. Diharapkan segala informasi yang encik sampaikan
ini dapat mengukuhkan lagi hasil kajian saya ini.
Encik Ismail : Sama-sama. Semoga apa yang saya
kongsikan ini dapat memberi manfaat terhadap kajian yang anda jalankan sekarang.
No comments:
Post a Comment