PENGENALAN
KEPADA ASAL USUL NAMA DENGKIL
Dengkil merupakan sebuah kampung yang luas dan meliputi
beberapa buah kampung lain. Kampung ini mempunyai keluasan tanah kira-kira 5310
ekar. Menurut sumber lisan suatu ketika dahulu, terdapat dua sumber yang
menyatakan bahawa nama Dengkil ini telah diberi oleh seorang Tok Batin di
kalangan kaum Orang Asli yang bernama Tok Batin Nalih a/l Jembik. Beliau
menamakan kampung ini sebagai ‘Dingkil’ yang membawa maksud buah durian yang
tidak berisi tetapi mempunyai biji yang besar. Pada ketika itu terdapat banyak
pokok durian hidup di tebing Sungai Langat yang kerap berbuah dan disebut oleh
orang Asli sebagai ‘Dingkil’. Dan lama kelamaan sebutannya telah berubah
menjadi Dengkil.
Selain itu, ada pula yang menyatakan bahawa nama Dengkil
berasal dari Sungai Langat yang ‘Dengkat’ atau maksud lain kawasan sungai yang
lebih cetek sepanjang sungai tersebut. Sungai ini bertemu dengan Sungai
Semenyih yang terletak di kawasan Jenderam. Sekitar tahun 1950-an hingga
1960-an, sungai ini mempunyai banyak ikan dan udang galah. Namun, lama-kelamaan
sungai ini mula menjadi keruh dan hasil hidupan didalam sungai tersebut turut
pupus dan akhirnya perkataan ‘Dengkat’ ini berubah menjadi Dengkil yang disebut
oleh para penduduk sehingga kini.
Disamping itu, terdapat juga sumber lain yang turut
menyatakan bahawa Dengkil membawa maksud Sungai Naga jika diterjemahkan ke
dalam bahasa Cina. Mengikut cerita yang telah diturunkan oleh salah seorang
warga tempatan, terdapat seekor naga besar telah bertapa di Dengkil selama 900
tahun dan naga tersebut akan menjadi dewasa setelah bertapa untuk tempoh 100
tahun lagi.
Semenjak daripada itu, orang British mula menjejakkan
kaki dan meneroka kawasan Dengkil. Naga tersebut telah dibakar dan memuntahkan darah
yang berwarna hitam. Pengaliran darah naga tersebut telah membentuk sebuah sungai
yang berwarna hitam airnya. Dan akhirnya, sungai tersebut telah diberi nama Air
Hitam yang masih kekal namanya sehingga kini.
Mengikut kepercayaan orang Cina, tangisan naga tersebut
sering kedengaran akibat kesakitan yang dihadapinya di sepanjang sungai Air
Hitam. Berikutan itu, sungai ini terbentuk daripada darah naga dan orang Cina
menamakannya sebagai Leng Qi yang membawa maksud Sungai Naga. Perkataan Leng Qi
mempunyai bunyi yang sama dengan perkataan Dengkil.
Kelahiran kawasan Dengkil ini juga bermula apabila
wujudnya perjumpaan hasil bijih timah. Di sepanjang Sungai Langat, sungai
tersebut amat kaya dengan bijih timah. Kedudukan Dengkil yang terletak dengan
aliran sebelah atas adalah kira-kira 30 kilometer. Sungai Langat ini telah
membawa kepada wujudnya pembentukan kawasan tanah paya bakau di dalam kawasan
Dengkil dan Sepang. Pada akhir kurun ke-19, kegiatan perlombongan bijih timah
yang giat dijalankan di Sungai Langat telah membawa kepada pembentukan kawasan
penempatan orang Cina.
ASAL
– USUL NAMA DENGKIL
Sehingga
kini, penduduk Dengkil masih belum mengenalpasti sumber berkenaan dengan
asal-usul nama Dengkil. Jika suatu ketika dahulu, seorang penduduk yang
berketurunan orang Asli menggelarkan Dengkil adalah berasal daripada perkataan
‘Dingkil’ yang membawa maksud buah durian yang tidak berisi tetapi mempunyai
biji yang besar. Hal ini membuktikan bahawa suatu ketika dahulu, ditepi Sungai
Langat terdapat banyak pokok durian yang kerap berbuah. Disebabkan itu, orang
Asli menamakan ianya sebagai ‘Dingkil’ dan akhirnya perkataan tersebut membawa
kepada nama Dengkil yang digunakan sehingga kini. Menurut orang sumber, beliau
juga mengemukakan pendapat yang hampir sama bahawa nama Dengkil ini berasal
dari buah durian. Beliau menyatakan bahawa pada tahun 1956 terdapat lapan orang
Melayu yang datang dari Sungai Buaya dan mengikut Sungai Langat dan akhirnya
mendarat di Jambatan Lama Dengkil. Ditepi Sungai Langat tersebut terdapat pokok
durian dan dua daripada pokok durian tersebut terdapat buah durian
yang tidak berisi tetapi mempunyai biji yang besar. Pokok durian itu dinamakan
‘Durian Dengkil’.
Selain itu, terdapat juga sumber yang menyatakan bahawa
nama Dengkil berasal daripada perkataan ‘Dengkat’ yang membawa maksud sungai
yang cetek. Menurut sumber terdahulu disepanjang Sungai Langat terdapat satu kawasan
yang lebih cetek. Sungai ini bertemu dengan Sungai Semenyih yang terletak di
kawasan Jenderam Hilir. Sungai Langat ini juga terdapat hasil hidupan sungai
seperti ikan dan udang galah. Lama-kelamaan hidupan tersebut mula pupus akibat
kekeruhan yang berlaku di sepanjang sungai tersebut. Pendapat ini juga hampir menyerupai
dengan pandangan dari orang sumber. Menurut pengetahuan beliau, suatu ketika
dahulu terdapat beberapa orang Asli menyatakan bahawa ada sebatang sungai yang
dipanggil Sungai Merba. Air sungai ini mengalir masuk terus ke Sungai Langat.
Akibat daripada pengaliran air sungai tersebut, pasir dan tanah Di Sungai Merba
juga turut dialirkan bersama sehingga menyebabkan sungai tersebut menjadi
cetek. Beliau juga menyatakan bahawa suatu ketika dahulu terdapat beberapa
orang yang menaiki perahu melalui sungai tersebut. Sebaik sahaja di tengah
perjalanan, perahu yang dinaiki oleh mereka telah tersangkut akibat keadaan
sungai yang cetek. Selepas peristiwa itu, sungai itu sering disebut sebagai
sungai yang ‘Dengkat’ yang membawa maksud tohor ditengah sungai atau cetek.
KEISTIMEWAAN DENGKIL
Sebelum era 1990-an, Dengkil sememangnya kaya dengan
sumber-sumber bahan mentah dan keindahan alam semulajadi. Oleh itu, maka telah wujud
kawasan perlombongan bijih timah, ladang kelapa sawit dikawasan estet, ladang
penternakan lembu dan kambing serta kawasan industri perkilangan. Dengan adanya
kawasan-kawasan tersebut, kegiatan ekonomi yang dijalankan juga turut
berkembang dengan amat pesat dan akhirnya telah membawa kepada perubahan yang
menjadikan kawasan Dengkil ini semakin membangun dengan begitu maju. Misalnya,
perkembangan yang telah diwujudkan adalah pembinaan kilang-kilang industri
pemprosesan kelapa sawit dan kilang pemprosesan hasil galian bijih timah. Akibat
daripada kepesatan kemajuan kegiatan ekonomi di kawasan Dengkil, hal ini turut
menarik pandangan sesetengah pihak luar untuk memajukan dan cuba untuk memperkembangkan
lagi kawasan Dengkil. Antara pembinaan pembangunan yang giat dijalankan pada
ketika itu ialah pembinaan kawasan-kawasan perumahan yang bagaikan ‘cendawan
sedang bertumbuh’.
Bukan itu sahaja, Dengkil juga terdiri daripada pelbagai
kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India, dan orang Asli. Secara majoriti, penduduk
Dengkil kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu. Manakala kaum India pula
merupakan kaum kedua yang terbanyak menetap dikawasan Dengkil dan kemudiannya
diikuti oleh kaum Cina. Bagi kaum bumiputera seperti orang Asli, bilangannya tidak
begitu banyak. Oleh itu, apabila wujudnya pelbagai kaum yang menetap dikawasan
Dengkil, maka setiap adat dan cara hidup kaum masing-masing dapat dikenali
antara satu sama lain. Misalnya, majlis perkahwinan yang diadakan oleh setiap
kaum yang berlainan. Apabila adanya majlis-majlis seperti ini, penduduk Dengkil
semestinya mengutamakan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain
walaupun berlainan kaum. Hal ini menunjukkan bahawa, apabila sesuatu majlis itu
diadakan sama ada ianya secara formal atau tidak formal, mereka semestinya akan
menjemput tetamu yang berlainan kaum. Maka dengan ini, terbuktilah bahawa
penduduk di Dengkil sememangnya menerapkan unsur nilai-nilai murni di dalam
diri masing-masing. Sikap saling hormat-menghormati, saling bertolak ansur dan
bantu-membantu merupakan tunjang utama dalam memupuk hubungan silaturahim
antara kaum. Di samping itu, setiap kaum ini juga dapat mengenali tentang unsur
budaya serta amalan masing-masing dengan lebih dekat dan terperinci.
Seterusnya, dari segi kedudukan lokasi, Dengkil sememangnya
berada pada kedudukan yang begitu strategik. Oleh disebabkan itu, kerja-kerja
penaiktarafan perhubungan jalanraya yang menghubungkan Dengkil kesemua kawasan
mula dijalankan. Antara projek penaiktarafan dan penubuhan pembangunan
modenisasi adalah seperti Cyberjaya, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA). Oleh disebabkan mula terbinanya pembangunan ini, maka
Dengkil mula dikenali sedikit demi sedikit oleh ramai pihak. Disamping itu,
kebanyakan pihak memilih untuk menduduki di kawasan Dengkil kerana faktor
kedudukannya yang strategik serta faktor kemudahan perhubungan dan prasarana
yang terdapat di Dengkil. Oleh itu, Dengkil kini telah menjadi kawasan
pertengahan yang menghubungkan diantara Putrajaya, Cyberjaya, KLIA dan arah
laluan menghala lebuhraya susur ke Kuala Lumpur.
PERKEMBANGAN
YANG WUJUD DI DENGKIL
Sebelum era 1990-an, Dengkil sememangnya telah
menyediakan kemudahan kepada semua penduduk tempatan tetapi kemudahan yang
disediakan pada ketika itu amat terhad. Antara jenis kemudahan yang terdapat di
Dengkil sebelum memasuki tahun 1990-an ialah sekolah, pejabat pos, balai polis,
perhentian teksi dan kereta sewa, kemudahan bas serta kemudahan perhubungan
jalan raya. Namun, segala kemudahan ini telah mula dibaikpulih dan dimajukan
bagi menampung jumlah penduduk di kawasan Dengkil yang kian meningkat dari
semasa ke semasa.
KEGIATAN EKONOMI
Sebelum era 1990-an, kegiatan ekonomi yang telah dijalankan
oleh penduduk Dengkil adalah terdiri daripada kegiatan perlombongan, kegiatan
pertanian dikawasan estet dan kegiatan perniagaan. Oleh itu, terdapat beberapa
pembahagian dimana setiap kaum ini menjalankan kegiatan ekonomi yang berbeza.
Suatu ketika dahulu, kebanyakkan penduduk kaum Melayu menetap dari kawasan
Pekan Dengkil sehingga Batu 31. Manakala, kaum Cina pula menetap di
Perkampungan Cina iaitu Kampung Baru Dengkil. Menurut orang sumber,
perkampungan Cina ini mula wujud semasa berlakunya darurat di kawasan Batu 1
dan Air Hitam. Seterusnya, penduduk kaum India pula kebanyakannya menetap di
kawasan estet. Antara kawasan yang menjadi tempat tinggal penduduk kaum India
ialah Ampar Tenang Estet dan H.N.Ridley Estet.
Menurut orang sumber, Lombong Timah
Langat di Dengkil itu merupakan tapak perkampungan melayu suatu ketika dahulu.
Perkampungan melayu tersebut telah diambil alih oleh pihak kerajaan pada masa
itu untuk dijadikan kawasan perlombongan. Oleh disebabkan penduduk dari
perkampungan melayu tersebut tiada tempat untuk menetap, maka sebuah
perkampungan telah diwujudkan iaitu Kampung Dato’Ahmad Razali. Pada asalnya,
tapak kawasan tersebut merupakan kawasan perladangan estet kepunyaan Chung Kiow
Estate yang digiatkan oleh kaum India. Namun kawasan tersebut telah diambil
oleh pihak kerajaan terdahulu dan mewujudkan sebuah perkampungan yang dipanggil
Kampung Dato’Ahmad Razali. Setelah itu, penduduk kaum melayu dari kawasan
perkampungan melayu telah dipindahkan ke kampung tersebut. Sebelum era 1990-an,
penduduk kaum Melayu ini mula menggiatkan sektor perlombongan yang menjadi sumber
ekonomi utama di Dengkil pada ketika itu. Antara kawasan perlombongan yang
menjadi kegiatan utama kaum Melayu ialah Lombong Timah Langat, Selangor
Dredging dan Perlombongan Kok Seng.
Bagi kaum India mereka hanya
tertumpu kepada kegiatan perladangan estet. Suatu ketika dahulu, kebanyakkan
kaum India menetap di kawasan estet yang berhampiran dengan sempadan Pulau
Meranti. Antara kawasan perladangan estet yang menjadi tumpuan utama kaum India
menggiatkan sektor tersebut adalah Ampar Tenang Estate, Perang Besar Estate dan
H.N.Ridley Estate. Namun sekitar tahun 1994, tanah telah mula diambil oleh
pihak kerajaan untuk kerja-kerja pembangunan. Oleh disebabkan itu, kebanyakkan
kaum India mula berpindah ke sebuah perumahan flat iaitu Flat Taman Permata.
Perumahan tersebut telah ditubuhkan khas untuk kaum India yang melibatkan diri
dalam kegiatan estet. Situasi tersebut juga telah menunjukkan bahawa sesetengah
penduduk kaum India mula mencuba untuk menceburkan diri dalam sektor
perkilangan. Sehingga kini, masih ada lagi penduduk kaum India yang melakukan
kerja-kerja di ladang estet dan ada juga yang terlibat dalam sektor
perindustrian terutamanya di kilang-kilang.
KEMUDAHAN ASAS DAN
PRASARANA
SEKOLAH
KEBANGSAAN DENGKIL
Pada awalnya, sekolah ini dipanggil Sekolah Melayu
Dengkil ataupun Sekolah Umum yang telah ditubuhkan pada tahun 1926. Tapak asal
sekolah ini pada asalnya terletak di Pekan Dengkil namun tapak tersebut kini
tidak lagi digunakan dan dijadikan sebuah Balai Raya di kawasan tersebut. Pada
awal pembukaan, bangunan sekolah ini merupakan sebuah bangunan kayu yang
berdindingkan papan sekerat dan beratap nipah. Manakala meja dan kerusi untuk
para pelajar dihasilkan daripada papan yang berbentuk panjang. Guru Besar
pertama yang menerajui sekolah ini ialah Encik Ahmad bin Hamid dan bilangan
pelajar pada awal pembukaan sekolah ini adalah seramai 35 orang.
Setelah berlakunya pertambahan penduduk dari semasa ke
semasa, ia juga turut membawa kepada jumlah pelajar yang ramai. Pada tahun
1927, sebuah bangunan telah didirikan yang terletak kira-kira ½ batu dari tapak
sekolah lama. Bangunan ini terdiri daripada tiga buah bilik darjah sahaja bagi
menampung lima aliran kelas iaitu bermula dari Darjah Satu sehingga Darjah
Lima. Sepanjang tempoh pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, Sekolah Melayu
Dengkil tidak banyak terlibat dalam situasi peperangan sepertimana yang telah
berlaku di beberapa buah sekolah yang berhampiran. Oleh disebabkan itu, kesemua
para pelajar tidak terganggu dengan keadaan tersebut dan dapat meneruskan
pembelajaran seperti biasa.
Setelah Jepun mula menyerah kalah pada tahun 1945 dan
kemudiannya telah diambil alih oleh pihak British, pentadbiran Sekolah Melayu
Dengkil sering bertukar ganti Guru Besar sehingga menjelang tahun 1956. Oleh
itu, setelah berlakunya peristiwa kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, telah banyak
perubahan yang berlaku di sekolah ini dan akhirnya sekolah ini mula mengalami
pembaharuan dari segi jenis pembangunan, sistem pentadbiran sekolah serta
bilangan guru dan pelajar yang kian meningkat setiap tahun.
SEKOLAH
MENENGAH KEBANGSAAN DENGKIL
Sekolah ini mula ditubuhkan pada Januari 1967, dan telah
dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor pada ketika itu, iaitu Dato’Ahmad Razali
bin Mohd Ali pada tanggal 11 Januari 1970. Pada awalnya, sekolah ini memulakan
operasi dengan hanya menumpang di Sekolah Kebangsaan Dengkil. Jumlah kapasiti
guru pada ketika itu adalah seramai 4 orang manakala bilangan pelajar pula
seramai 90 orang.
Menjelang tahun 1970, bilangan pelajar mula meningkat
seramai 169 orang dan bilangan guru telah meningkat kepada 6 orang. Sekolah ini
telah memulakan operasi dengan hanya menggunakan 7 buah kelas sahaja. Ketika
memasuki tahun1975, bangunan Blok A, kantin sekolah dan bangunan bengkel
Kemahiran Hidup mula dibina. Pada tahun 1976, kerja-kerja pembinaan bangunan
Blok B dan Blok C turut dijalankan dan disiapkan begitu juga dengan bangunan
Blok D dan dewan utama. Menjelang tahun 1988, bangunan Blok E telah siap dibina
dan ia telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu iaitu
Dato’Seri Najib Tun Abdul Razak pada tahun 1999.
Setelah memasuki tahun 2000, sekolah ini mempunyai 6 blok
bangunan, sebuah Dewan Utama, 6 buah bengkel Kemahiran Hidup, sebuah Makmal
Komputer iaitu Makmal Bestari, sebuah Bilik Simulasi, 6 buah rumah guru, sebuah
kantin dan sebuah surau. Bilangan guru pada ketika itu mula mengalami
peningkatan iaitu seramai 90 orang dan bilangan pelajar pula meningkat kepada
1,500 orang. Kemudiannya, bangunan Blok F telah siap dibina dan mula digunakan
pada tahun 2003. Blok tersebut terdiri daripada 2 buah Makmal Matematik dan
kelas-kelas untuk pelajar Tingkatan Lima. Sehingga kini, bilangan guru dan
pelajar seringkali meningkat dan pentadbiran sekolah juga turut dijalankan
dengan lebih sistematik berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.
BALAI
POLIS DENGKIL
Balai
Polis Dengkil mula ditubuhkan sekitar tahun 1928 dan balai polis ini mempunyai
persamaan dengan Balai Polis Batu 14, Hulu Langat. Hal ini membuktikan bahawa kedua-dua buah
balai polis ini diwujudkan di tebing Sungai Langat yang menyebabkan kepada
faktor-faktor perhubungan dan perniagaan pada ketika itu.
Tapak balai polis tersebut masih lagi dikekalkan sehingga
kini. Suatu ketika dahulu, Balai Polis Dengkil dianggap sebagai Balai
Pengamanan yang dianggotai oleh seorang Lans Koperal dan tiga orang mata-mata.
Selepas beberapa tahun, Balai Polis Dengkil telah mula mengalami perubahan dari
semasa ke semasa dari segi sistem pentadbiran, bilangan anggota polis dan kerja-kerja
pembaharuan balai tersebut. Hal ini membuktikan bahawa pada tahun 1939,
bilangan anggota polis telah bertambah melalui penglibatan seorang Lans Koperal
dan enam mata-mata. Kemudiannya, berlaku
sekali lagi penambahan di mana sistem pentadbiran balai polis ini diketuai oleh
seorang Sarjan dan dibantu oleh seorang Lans Koperal serta lapan orang
mata-mata.
Terdapat pelbagai cabaran yang pernah dihadapi oleh
Pasukan Polis di kawasan Dengkil antaranya ketika zaman darurat yang berlaku
pada tahun 1948 sehingga tahun 1960. Namun, dengan wujudnya semangat kerjasama
yang kuat diantara orang awam dengan anggota Polis maka musuh luar yang
memasuki negara ini dapat ditentang oleh pasukan keselamatan negara sehinggalah
negara kita mula mengalami perubahan dalam mewujudkan keamanan dan semangat
harmoni dalam kalangan masyarakat.
Sehingga kini, Balai Polis Dengkil masih lagi memainkan
peranan yang penting dalam menjaga keselamatan, ketenteraman dan kemesraan kepada
seluruh penduduk di kawasan Dengkil.
PEJABAT
POS DENGKIL
Bukan itu sahaja, kemudahan untuk penduduk setempat
membuat urusan surat-menyurat juga disediakan dengan mewujudkan sebuah pejabat
pos. Pejabat Pos Dengkil mula dibuka pada 5 April 1982 dan lokasinya terletak
di Batu 31 Jalan Banting Klang, Selangor yang berhampiran dengan Pekan Dengkil.
PRASARANA
Pada
tahun 1990-an, kemudahan prasarana yang telah sedia wujud di Dengkil adalah
dengan adanya kemudahan bas awam serta kemudahan teksi.
Menurut
orang sumber, pada ketika dahulu bas yang digunakan di kawasan Dengkil untuk
menuju ke Kajang adalah Bas Sam. Bas ini merupakan satu-satunya kemudahan
pengangkutan yang ada pada ketika itu dan menjadi tumpuan orang ramai untuk
menuju ke Kajang. Kemudian, selepas beberapa tahun wujud lagi satu syarikat bas
dimana bas tersebut dikenali sebagai Bas Mara. Bas ini hanya menuju dari
Dengkil ke Banting. Menurut pandangan orang sumber juga, bas ini hanya
beroperasi dua kali sehari iaitu dari pada jam 8.00 pagi dan 3 petang.
SISTEM
PERHUBUNGAN JALAN RAYA
Menurut orang sumber, sistem perhubungan yang wujud
sekitar tahun 1990 merupakan jalan raya yang menghubungkan dari kawasan Pekan
Dengkil ke Kuala Langat dan Kajang. Manakala menerusi Jalan Air Hitam ia hanya
menghubungkan sehingga ke Puchong. Namun, setelah beberapa tahun, sistem perhubungan
di Dengkil ini mula mengalami perubahan dan telah dinaiktaraf oleh pihak
kerajaan. Misalnya, pembinaan sistem pengangkutan jalan raya yang menghubungkan
Dengkil ke Putrajaya. Suatu ketika dahulu, Putrajaya ini dikenali dengan nama
Perang Besar dan selepas beberapa tahun nama tersebut mula ditukarkan secara
rasmi kepada Putrajaya pada 12 Oktober 1994. Kawasan ini mula dibangunkan pada
16 April 1955 dan sekitar tahun 1999, pembinaan sebuah jalan raya yang
menghubungkan Dengkil ke Putrajaya mula dibangunkan. Setelah memasuki tahun
2000, jalan raya tersebut telah mula digunakan oleh penduduk Dengkil ke
Putrajaya. Pada tahun yang sama, jalan raya yang menghubungkan ke Putrajaya ini
mula diperkembangkan dengan membina sebuah lagi jalan raya yang menghala ke
Cyberjaya. Pembukaan Cyberjaya ini bermula pada Mei 1997 dan dirasmikan oleh
Perdana Menteri pada ketika itu iaitu Tun Dr.Mahathir Mohammad.
Seterusnya, ketika Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) mula dibangunkan sekitar tahun 1990-an, jalan raya yang
menghubungkan dari Dengkil ke KLIA telahpun mula dibina. Ketika itu, jalan raya
untuk menghubungkan dari Dengkil hingga ke KLIA harus melalui beberapa susur
laluan. Laluan yang harus dilalui adalah melalui jalan Dengkil-Banting kemudian
melalui kawasan Bukit Changgang dan seterusnya tiba di Bandar Baru Salak
Tinggi. Namun, selepas beberapa tahun pihak kerajaan telah membuat keputusan
dengan membina sebuah laluan alternatif di mana ia boleh berhubung secara terus
dari Dengkil hingga tiba di KLIA. Oleh itu, bagi memudahkan penduduk di kawasan
Dengkil, sebuah lebuhraya telah dibina yang berupaya menghubungkan dari Dengkil
menyusur ke Putrajaya, Kota Warisan, Bandar Baru Salak Tinggi dan seterusnya
menuju ke KLIA.
PEMBANGUNAN,
PETEMPATAN DAN INFRASTRUKTUR
Dari segi
pembangunan dan infrastruktur, awal tahun 1990-an pembangunan yeng telah wujud
di Dengkil adalah terdiri daripada masjid, tokong cina, kawasan perumahan dan
rumah-rumah kedai. Begitu juga dengan kewujudan prasarana yang telah sedia ada
di Dengkil. Antara prasarana yang telah diwujudkan ialah kemudahan pengangkutan
bas dan teksi.
Namun, selepas beberapa tahun kemajuan mulai berlaku di
kawasan Dengkil. Situasi ini menunjukkan bahawa kerja-kerja penaiktarafan mula
digiatkan bagi memudahkan lagi penduduk Dengkil untuk menggunakan kemudahan
yang telah sedia ada. Disamping itu, kawasan Dengkil juga kini mempunyai
pelbagai jenis kawasan perumahan yang dibina. Misalnya perumahan teres dua tingkat,
kondominium dan banglo dua tingkat. Hal ini menunjukkan bahawa kawasan
perumahan yang dahulunya hanya perkampungan kecil kini telah berubah menjadi
sebuah kawasan perumahan yang moden. Situasi ini telah membuktikan bahawa Dengkil
kini sedang mengalami arus kemajuan setanding dengan beberapa kawasan lain
seperti Putrajaya dan Cyberjaya.